Hari ini sudah 27 hari berpuasa. Berrmakna Ramadan yang penuh berkah ini akan berakhir sedikit waktu lagi. Rasanya masih belum puas menikmati keindahan Ramadan ini. Belum cukup ibadah kulakukan. Belum banyak kebajikan kutumpahkan sepanjang Ramadan ini.
Namun ada beberapa perkara yang agak memuaskan bagiku yang berlaku di sekelilingku. Pertamanya tentang suasana surau di kampungku. Jemaah tidak seramai mana pun tetapi jumlah itu sehingga saat ini tidak menyusut walaupun di seluruh negara orang selalu mengatakan jemaah akan berkurangan bila Aidilfitri semakin hampir. Kedua, anak-anak remaja yang berkhidmat mengemas dan membersihkan surau masih wujud di desaku ini. Tanpa mengharapkan balasan, mereka akan menghidang makanan, mencuci pinggan mangkuk dan cawan dan mengemas setiap malam. Mereka tidak diberi upah pun, sedangkan di kampung-kampung lain cerita berbeza kuperoleh. Anak-anak muda jika tidak diupah, enggan membantu, malah ada yang menghabiskan hidangan moreh sebelum jemaah selesai bersolat. Syukurlah di sini meskipun tidak semuanya solat terawih tetapi menjelang pertengahan terawih mereka akan muncul, selepas terawih mereka inilah yang akan bertadarus pula. Ketiganya, sepanjang Ramadan ini aku hanya sekali membeli makanan di bazar. Ini bukanlah kejayaan pun, cuma satu kepuasan bagiku kerana mengurangkan pembaziran yang dilarang agama. Memang sudah menjadi azamku untuk tidak membazir dari segi makanan berbuka puasa tahun ini. Semoga Allah memberi aku kekuatan untuk terus elak pembaziran tahun depan.
Rabu ini bersama teman lain, kami bercadang membersihkan surau sebelum Aidilfitri menjelang. Aku rasa macam tak kena sikit, patutnya sebelum Ramadan acara ini kami buat tapi yalah kesedaran dan perancangan itu datangnya lambat. Insyaallah benda ini boleh bawak tahun depan.
Tadi aku baru terjumpa satu web /blog tentang dua anak muda Pakistan American yang mengembara menelurusi 30 buah masjid sepanjang Ramadan di seluruh Amerika. Menarik posting mereka.Paling menyentuh hati, masjid yang dibina oleh masyarakat Islam Bosnia. Usaha masyarakat ini mengubahsuai sebuah bekas gereja dengan hasil titik peluh mereka sendiri [ memandangkan mereka pandai bertukang, dan wiring semua mereka buat sendiri ]cukup mengagumkan. Setiap peringkat pembinaan masjid bermula dari mesyuarat pertama komuniti tersebut untuk mengubahsuai masjid didokumentasikan dalam bentuk gambar.Selepas sipa, pembukaaan masjid itu diraikan dengan meriah.http://30mosques.com/2010/09/day-20-idaho-the-islamic-community-of-bosniaks-in-boise/ .Terharu sangat dengan kerjasama dan kesungguhan mereka ini. Sesungguhnya selepas hujan lebat kadangkala muncul pelangi indah...begitulah mereka...dahulu mereka kurang mengamalkan ajaran Islam hingga diserang oleh puak Serb tetapi hikmahnya dari peperangan itu wujud kesedaran dan kecintaan terhadap Islam dalam diri mereka. Tanya diri kita yang berada di zon selesa di Malaysia ini, perlukah menanti diserang dan ditawan untuk mengubah diri?
Ramadan masih bersisa....moga beberapa hari yang tinggal ini ada nur bakal mengerdip di hati setiap muslim di negara ini. Nur untuk mengubah diri, menginsafi diri termasuk untuk diriku jua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan